top of page

Tips untuk Merangka Hari Anda

  • Writer: Nua Chetak
    Nua Chetak
  • 7 Mei 2018
  • 3 min membaca

Adakah anda menggunakan masa anda dengan cermat? Adakah anda tahu pecahan masa yang anda peruntukkan untuk kerjaya, rehat, keluarga, peribadi, ibadat dan lain-lain?



Tahu tak sebenarnya kita boleh menjadi lebih produktif sekiranya kita melakukan aktiviti mengikut pelan yang telah kita rangkakan terlebih dahulu. Kita dapat mengatur masa dengan lebih cekap dan mengurangkan masa kepada perkara-perkara yang tidak menyumbang kepada produktiviti kita.


Hari ini saya nak berkongsi tips untuk merangka hari anda berdasarkan tips daripada pakar perniagaan dan motivasi, Encik Brian Tracy. Siapa yang tak kenal boleh rujuk di google. Saya menambah beberapa maklumat berdasarkan ilmu dan pengalaman yang saya ada ke dalam tips ini dan menjadikan ia satu hasil catatan saya sendiri. Semoga ianya membantu para pembaca.


Tip 1: Susun rangka aktiviti terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti.


Brian Tracy menyatakan, “Setiap 1 minit yang digunakan untuk merancang akan menjimatkan 10 minit di dalam pelaksanaan aktiviti.”


Setiap masa yang berjaya dijimatkan boleh digunakan untuk aktiviti lain yang menyumbang produktiviti seperti belajar, rehat, bersenam, networking dan sebagainya.


Perkara paling penting di dalam merangkakan (structuring) hari kita adalah perancangan awal. Masa yang paling sesuai adalah sebelum tidur. Luangkan masa untuk merangka aktiviti esok hari sebelum tidur. Bayangkan dan buat senarai.


Kita boleh bahagikan kelompok individu berdasarkan waktu aktif mereka. Individu yang aktif pada siang hari adalah “diurnal” dan mereka yang lebih aktif pada sebelah malam (7 malam ke atas dan sukar bangun pagi) adalah kelompok “nocturnal”. Sekiranya anda seorang yang aktif pada waktu pagi, anda boleh menyusun rangka aktiviti anda pada awal pagi. Pastikan anda merangka aktiviti sebelum anda melakukan kerja-kerja lain. Untuk muslim, boleh buat selepas solat subuh atau selepas solat tahajud.


Sebagai latihan, rekod masa yang anda gunakan untuk merangka hari anda. Usahakan untuk lengkapkan aktiviti merancang kurang daripada 30 minit. Ini akan memupuk tabiat berfikir dengan cekap (Efficient Thinking Habit).


Balik semula kepada tajuk. Macam mana nak menyusun rangka aktiviti? Di sinilah kita pergi kepada tips yang kedua.


Tip 2: Senaraikan aktiviti dan aturkan mengikut keutamaan.


Perkara yang kita perlu buat dan perkara yang kita mahu buat adalah dua kategori yang berbeza. Kenal pasti aktitivi di dalam senarai anda dan letakkan mengikut kategori yang sesuai. Keutamaan aktiviti adalah selesaikan “Perkara yang perlu dibuat” dan diikuti “Perkara yang mahu dibuat”.


Untuk peringkat permulaan, bayangkan pergerakan aktiviti kita pada esok hari dan senaraikan apa yang terlintas di fikiran. Senarai boleh ditulis pada sekeping kertas, buku nota, Microsoft word, Microsoft power point dan mana-mana yang sesuai. Senarai ini akan menjadi panduan aktiviti dan senarai semak (check list). Kita akan tandakan setiap aktiviti yang berjaya dilengkapkan.


Tanya kepada diri kita sendiri, sekiranya aku boleh buat 1 sahaja aktiviti pada hari ini, aktiviti mana yang paling penting dan menyumbang kepada perkembangan yang positif (karier, keluarga, peribadi).


Tips 3: Tetapkan tempoh dan garis masa untuk setiap aktiviti.


Masa merupakan aset yang sangat bernilai. Susun aktiviti mengikut keutamaan dan padankan aktiviti-aktiviti ini mengikut masa yang strategik dan tempoh yang sesuai. Pengalaman akan membantu kita membuat anggaran masa dan merancang dengan lebih khusus.


Laksanakan aktiviti yang telah dirancang SATU DEMI SATU. Cuba elakkan daripada melakukan 2 atau 3 atau lebih aktiviti dalam suatu masa atau perkataan yag lebih singkat adalah multi-tasking. Fokus kepada satu aktiviti pada satu masa.


Setelah menambah tetapan masa pada perancangan aktiviti, kita sudah boleh mulakan aktiviti harian mengikut perancangan. Tidak semua yang kita rancang akan berjalan lancar. Kita merancang tetapi ketentuan itu datang daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tetapi kita boleh jadikan senarai ini sebagai panduan dan menggunakan masa dengan lebih cekap. Cuba amalkan tabiat (habit) ini selama 7 hari dan rasai perubahan. Kekalkan selama 40 hari untuk membentuk tabiat berjaya (Success Habit) anda.


Sekian, terima kasih.

 
 
 

Comments


NUA CHE TAK

TRAINING CONSULTANT

Tel: 010 - 844  7237

8690, Jalan Sempadan Batu 7, Kg Sijangkang,

Telok Panglima Garang, 42500 Selangor,

Malaysia.

bottom of page